HUBUNGAN IMAN DAN ISLAM
RUKUN IMAN
Dalam menjelaskan definisi
akidah ada disebut perkataan kepercayaan atau keimanan. Ini disebabkan
Iman merupakan unsur utama kepada akidah. Iman ialah perkataan Arab yang
berarti percaya yang merangkumi ikrar (pengakuan) dengan lidah,
membenarkan dengan hati dan mempraktikkan dengan perbuatan. Ini adalah
berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:
“Iman itu ialah
mengaku dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan
anggota”. (al-Hadis) Walaupun iman itu merupakan peranan hati yang tidak
diketahui oleh orang lain selain dari dirinya sendiri dan Allah swt,
namun dapat diketahui oleh orang melalui bukti-bukti amalan.
Iman
tidak pernah berkompromi atau bersekongkol dengan kejahatan dan
maksiat. Sebaliknya iman yang mantap di dada merupakan pendorong ke arah
kerja-kerja yang sesuai dan secocok dengan kehendak dan tuntutan iman
itu sendiri.
Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya
orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya kemudian
mereka tidak ragu-ragu”. (al-Hujuraat 49:15)
Firman Allah swt
lagi yang bermaksud:“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila
disebut nama Allah swt maka terasa gerunlah hati mereka dan apabila
dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah swt, bertambahlah iman mereka dan
kepada tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan solat,
membelanjakan daripada apa yang kami beri rezki kepada mereka. Mereka
itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya”. (al-Anfal
8:2-4) Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam juga
dikenali sebagai rukun-rukun Iman iaitu sebanyak enam perkara:
- Pertama:
Beriman kepada Allah swt.
- Kedua: Beriman kepada Malaikat.
- Ketiga: Beriman kepada kitab-kitab.
- Keempat:
Beriman kepada Rasul-Rasul.
- Kelima: Beriman kepada Hari
Kiamat.
- Keenam: Beriman kepada Qada” dan Qadar.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:“Rasulullah telah
beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga
orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah swt,
Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya.” (al-Baqarah
2:285) Juga sabda Nabi saw yang bermaksud: “Iman itu ialah kamu beriman
kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya,
Hari Akhirat, Qadar baik dan buruk”. (Riwayat Muslim)
KERAGUAN
TERHADAP IMAN & RUKUN IMAN
Keraguan tentang iman dan
rukun Islam boleh berlaku melalui empat bentuk sepertimana yang
diperjelaskan oleh ulama’ iaitu;
1. Jahil; iaitu
seseorang yang tidak tahu tentang satu atau banyak perkara mengenai
persoalan iman maka ia diistilahkan sebagai seorang yang
jahil.2. Syak; iaitu antara keyakinan dan keraguan yang boleh
juga diukur melalui peratusan iaitu antara 50% yakin dan 50%
keraguan.3. Zan; iaitu yang diistilahkan sebagai kuat
anggapan juga boleh dinisbahkan kepada 75% keyakinan dan 25%
keraguan.4. Waham; iaitu yang boleh dinisbahkan kepada 25%
keyakinan dan 75% keraguan.
Daripada pembahagian kadar keraguan
dan keyakinan seperti yang diperjelaskan di atas, bolehlah kita membuat
kesimpulan bahawa apabila persolan iman seseorang itu diselami oleh
perasaan jahil, syak, zan atau waham bermakna ia belum lagi boleh
dikategorikan sebagai seorang yang beriman. Sebaliknya, seseorang yang
mengucapkan dua kalimah syahadah disertai dengan cahaya keyakinan yang
seratus peratus tanpa dicelahi oleh oleh mana-mana satu daripada
keempat-empat bentuk keraguan diatas barulah ianya boleh dikatakan
seorang yang beriman. Oleh itu, seseorang itu akan tidak akan merasakan
kelazatan iman tanpa diresapi oleh sifat-sifat yang tertentu di dalam
dirinya iaitu;
- Tidak ada sesuatu yang yang lebih
dicintainya daripada Allah dan juga Rasul-Nya.- Menyintai
sesuatu hanya kerana Allah.- Takut berbalik daripada keimanan
kepada kekufuran sepertimana ia takut dimasukkan ke dalam api neraka.
Nikmat keimanan yang dirasai oleh orang yang merasai kelazatan iman
akan terpancar melalui amalannya. Maka seseorang yang telah pun merasai
kelazatan iman tersebut tidak akan takut untuk menuturkan atau
melafazkan perkara yang benar dan juga tidak akan sama sekali berdusta
walaupun ketika ia menghadapi saat-saat kesulitan. Selain daripada itu,
ia juga menyakini tentang segala ketentuan itu adalah dari Allah yang
tidak dapat dihindarkan oleh kita yang bersifat makhluk-Nya.
PERINGKAT-PERINGKAT
IMAN
Iman itu boleh bertambah dan berkurang. Malah iman
seseorang boleh dihinggapi penyakit. Ada Iman sentiasa bertambah iaitu
Iman para Nabi dan Rasul. Ada Iman yang tidak bertambah atau berkurang
iaitu Iman para Malaikat. Ada Iman yang kadang-kadang bertambah dan ada
ketikanya menurun iaitu Iman kebanyakan orang mukmin. Terdapat juga
jenis Iman yang jarang-jarang bertambah tetapi banyak menurun iaitu Iman
orang-orang yang fasik lagi jahat.
Iman terbahagi kepada
lima peringkat:
- Iman Taqlid iaitu Iman ikutan.
Orang yang beriman secara taqlid beramal semata-mata mengikut orang
lain. Iman jenis ini merbahaya dan terdedah kepada kesesatan.
- Iman
Ilmu iaitu Iman yang berdasarkan semata-mata kepada ilmu dan
fikiran semata-mata dan ia tidak terpahat di dalam hati. Iman pada
tahap ini juga terdedah kepada bahaya dan penyelewengan.
- Iman
A’yan iaitu Iman yang dapat dihayati sehingga ke lubuk hati. Iman
pada tahap ini dimiliki oleh orang-orang soleh. Seseorang yang
beriman pada tahap ini amalannya bertolak dari hati yang ikhlas
untuk mencari keredhaan Allah swt. Iman kita juga
sekurang-kurangnya berada pada tahap ini.
- Iman Hak iaitu Iman
yang hakiki yang terlepas dari godaan nafsu dan syaitan. Iman pada
tahap ini dimiliki oleh golongan muqarrabin.
- Iman Hakikat
iaitu Iman peringkat yang paling tinggi yang boleh dicapai oleh
manusia. Mereka yang memiliki Iman pada tahap ini hidup semata-mata
untuk Allah swt.
HUBUNGAN IMAN DAN ISLAM
Iman
dengan makna tasdiq juga dinamakan akidah di mana rahsianya tidak
diketahui sesiapa melainkan orang berkenaan dan Allah swt. Namun
demikian manusia mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dilihat
melalui tingkah laku manusia sama ada melalui percakapan atau perbuatan.
Inilah yang menjadi ukuran keimanan seseorang. Adapun segala yang
tersirat di dalam hatinya terserah kepada Allah swt. Iman yang
melahirkan penyerahan diri kepada Allah itu juga disebut sebagai Islam.
Ini bermaksud seseorang yang beriman hendaklah menyerah diri kepada
Allah swt dengan menerima segala hukum dan syariat yang diturunkan
Ilahi. Penyerahan dan penerimaan ini berlaku dengan dua perkara iaitu:-
(i) Dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan Iman
(akidah) (ii) Melalui sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan
dan perbuatan (amalan) dinamakan Islam. Nabi Muhammad saw telah juga
menunjukkan penggunaan kalimah Iman dalam pengertian amal sebagaimana
sabdanya yang bermaksud : “Iman terbahagi lebih enam puluh bahagian,
yang paling tinggi ialah mengucap kalimah “Lailahaillallah” dan yang
paling rendah ialah membuang benda-benda yang boleh menyakitkan orang di
jalan”. (Riwayat Muslim) Oleh yang demikian jelas di sini Iman dan
Islam mempunyai hubungan yang rapat dan tidak mungkin dipisahkan. Islam
umpama pohon, sementara Iman umpama akar pepohon kayu. Kesuburan dan
kekuatan akar pokok tersebut dapat dilihat dengan kesuburan pokok pada
daun, ranting dan dahannya.
Dalam menjelaskan tentang hubungan
Iman dan Islam ini kita petik sebuah hadis sabda Nabi saw kepada
rombongan Abdul Qias yang bermaksud: “Aku menyuruh kamu beriman kepada
Allah swt yang Maha Esa. Apakah kamu mengerti apa dia yang dikatakan
beriman kepada Allah swt yang Maha Esa “. Iaitu penyaksian bahawa tiada
tuhan yang disembah melainkan Allah swt yang Maha Esa, tiada sekutu
baginya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan satu
perlima daripada harta rampasan perang”. (Muttafaqun ‘alaih)
Hadis
di atas menjelaskan betapa adanya hubungan yang erat di antara iman dan
Islam di mana Islam itu menjadi salah satu daripada perinsip Iman dan
Iman pula dilahirkan melalui Islam secara amali, dengan iqrar syahadah
dan melaksanakan hukum syariat dalam segala amalan. Sekiranya berlaku
iqrar syahadah dan menunaikan fardhu sedangkan hatinya tidak yakin atau
tidak percaya serta ragu-ragu terhadap hukum hakam Allah swt maka
seseorang itu dihukum tidak beriman walaupun masih dinamakan Islam
sebagaimana yang berlaku kepada sesetengah orang-orang Badwi di zaman
Rasulullah saw.
Firman Allah swt yang bermaksud:“Orang Arab
berkata: ‘Kami telah beriman.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kamu belum
beriman’ (janganlah berkata demikian, sementara Iman belum lagi meresap
masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja: ‘Kami telah Islam’”.
(al-Hujuraat 49:14)
Kesimpulannya Iman itu melambangkan sesuatu
yang batin sementara Islam melambangkan sesuatu yang zahir. Oleh itu
iman dan Islam tidak boleh dipisahkan. Islam umpama pokok sementara Iman
umpama akar. Ibadat solat merupakan batang kepada pokok itu sementara
beriman kepada Allah swt merupakan akar tunjangnya di mana ia menjadi
teras keimanan seseorang. Pemisahan Iman dan Islam samalah kita
memisahkan pokok dari akarnya.
SYARAT IMAN & ISLAM
(TUNTUTAN IMAN TERHADAP PERLAKSANAAN RUKUN ISLAM)
Melalui
pendedahan tentang ciri-ciri keimanan yang telah disebutkan dapatlah
kita mengetahui tahap mana keimanan yang kita dokongi, adakah ianya
seteguh gunung yang tersergam megah atau hanya seteguh istana pasir yang
dibina akan musnah dan hancur apabila dipukul ombak. Maka dengan ini,
Islam telah menggariskan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum
seseorang itu di kategorikan sebagai beriman dan jika tidak memenuhi
syarat tersebut maka jadilah ia seperti yang di istilahkan iaitu:
1-
Seseorang yang mengucapkan
lailahaillallah dan yakin dengannya,
tetapi tidak beramal atau amalannya tidak sempurna sebagaimana yang
dikehendaki, maka golongan ini dinamakan sebagai mukmin yang fasik atau
‘asi (derhaka).2- Seseorang yang yakin tetapi tidak mahu mengikrarkan
kalimah
lailahaillallah sama ada dengan beramal ataupun tidak,
dikategorikan sebagai seorang yang kafir sepertimana yang berlaku
terhadap Abu Jahal dan Abu Lahab.
3- Seseorang yang
mengucapkan
lailahaillallah kemudian beramal dengan tuntutannya
tetapi keyakinan dicelahi oleh keraguan adalah di istilahkan sebagai
seorang yang munafik sepertimana keimanan Abdullah bin Ubay.
Lanjutan dari ayat 14 dalam surah al-Hujuraat, ditegaskan pula
tentang orang yang beriman yang diperincikan lagi melalui ayat dalam
surah yang sama ayat 15:
“Sesungguhnya orang yang sebenarnya
beriman, hanyalah orang-orang yang yang beriman kepada Allah dan
Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan
harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang
benar”. (Al-Hujuraat 49:15)
Rentetan ayat di atas, keraguan
seseorang dalam mengucapkan
kalimah syahadah samada maksud
kalimah tersebut atau tentang lain-lain rukun iman, haruslah dipelajari
maksud dan tuntutannya. Maka dengan sebab itu, ucapan
lailahaillallah
mestilah dipelajari maksud dan tuntutannya kemudian difahami, diyakini
(tanpa ragu-ragu) dan dihayati untuk diamalkan.
KONSEP
IHSAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN IMAN DAN ISLAM
Ihsan bermaksud
bekerja dengan baik dan tekun. Dari segi syara’ bermaksud mengelokkan
perbuatan zahir dengan ibadat dan mengelokkan perbuatan batin dengan
ikhlas. Menurut kamus bahasa, Ihsan bermaksud membuat sesuatu yang baik.
Al-quran menerangkan dengan meluas ciri-ciri Ihsan dan mereka yang
bersifat muhsinin (berbuat kebaikan).
Antaranya firman Allah
swt yang bermaksud :“Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan
yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan
maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (al-Isra’
17:7)
Kedudukan Ihsan adalah tinggi di sisi Islam dalam konteks
melengkapkan ciri-ciri keimanan dan keislaman individu dan masyarakat
Islam seluruhnya. Al-Quran menerangkan bahawa Ihsan wajib menjadi tabiat
manusia. Allah swt telah memberi ni’mat kepada manusia dengan
Ihsan-Nya, maka manusia perlu Ihsan dengan ni’mat ini kepada
makhluk. Firman allah swt yang bermaksud:“Dan berbuat baiklah (kepada
hamba-hamba Allah swt) sebagaimana Allah swt berbuat baik kepadamu
(dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah.” (al-Qasas :77)
Seseorang yang melakukan Ihsan akan merasa tenang yang tidak dapat
dirasakan oleh orang lain dan orang yang menerima Ihsan itu sendiri
merasa senang. Kasih sayang kepada pelaku Ihsan akan memberi kebahagiaan
jiwa. Mereka yang membuat keburukan tidak akan mendapat ketenangan
hidup. Oleh itu Allah swt telah memberi galakan supaya berbuat Ihsan
sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah swt menyuruh
kamu berlaku adil, dan berbuat ihsan (kebaikan), serta memberi bantuan
kepada kaum karabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan
keji dan mungkar serta zalim.” (al-Nahl :90)
Al-Quran
mengangkat martabat Ihsan dengan begitu tinggi lebih-lebih lagi jika
turut disertakan dengan ikhlas kepada Allah swt dan kedua-dua ini
dianggap sebagai sifat yang paling tinggi dan mulia yang patut ada pada
diri setiap muslim. Kesimpulannya kalau Iman itu umpama akar, Islam
umpama pokok maka Ihsan pula umpama buah yang baik. Demikianlah hubungan
di antara Iman, Islam dan Ihsan.
KESAN AQIDAH ISLAM
Akidah Islam akan melahirkan seseorang atau masyarakat yang
mempunyai kepribadian yang unggul yang akhirnya akan dijelmakan melalui
tingkah-laku, percakapan dan gerak-geri hati seseorang atau sesebuah
masyarakat. Akidah Islam yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati
sesseorang akan menimbulkan kesan-kesan positif di antaranya dapat kita
gariskan seperti berikut:
Akidah Islam melahirkan
seorang yang yakin kepada Allah swt yang maha esa. Lantaran itu
menggerakkan seluruh tingkah-lakunya, percakapannya dan gerak-gerinya
untuk mencari keredhaan Allah swt.
Akidah Islam
melahirkan Insan Soleh. Insan yang melakukan apa yang diperintahkan oleh
Allah dan meninggalkan segala jenayah dan kemungkaran. Akidah Islam
melahirkan Insan yang mempunyai akhlak cemerlang dan terpuji. Mengikis
sifat-sifat yang buruk dan melahirkan manusia yang bertaqwa, tawadhu’,
ikhlas, redha, amanah dengan segala sifat terpuji yang lain di samping
menyingkirkan sifat-sifat yang buruk seperti dengki, sombong, ria’,
takabur dan seumpamanya yang boleh membawa masalah sosial dalam
masyarakat. Akidah akan melahirkan seseorang atau sesebuah masyarakat
yang optimis dan yakin kepada diri sendiri untuk bekerja bagi mencapai
kejayaan di dunia di samping tidak lupa mencari keredhaan Allah swt
supaya mendapat kebahagian di akhirat. Akidah Islam melahirkan Insan dan
masyarakat yang teguh pendiriannya, mempunyai perinsip dan tidak mudah
terpengaruh dengan persekitaran yang mengancam nilai dan akhlak manusia
terutama dengan pelbagai pengarauh hasil kemajuan teknologi maklumat di
zaman ini. Ia mampu membeza dan memilih nilai-nilai yang positif dan
menolak nilai-nilai yang negatif yang boleh merosakkan keperibadian
Insan dan masyarakat. Akidah Islam yang teguh mampu membawa manusia dan
masyarakat maju ke hadapan dalam segala bidang. Sejarah membuktikan
masyarakat Arab telah berubah daripada satu masyarakat yang tidak
dikenali kepada sebuah masyarakat yang digeruni. Akidah Islam telah
mengangkat darjah mereka. Mereka menguasai hampir separuh dari bumi ini.
Mereka menguasai pentadbiran dan maju dalam pelbagai disiplin ilmu
pengetahuan. Akidah Islam membentuk manusia berlumba-lumba untuk
melakukan kebajikan dan mencegah dari kemungkaran. Ini akan melahirkan
masyarakat yang harmoni dan aman tenteram. Tiada jenayah atau
pencerobohan ke atas sesiapa disebabkan mereka yakin kepada hari
pembalasan. Akidah Islam akan melahirkan manusia yang tidak mudah putus
asa atau hilang harapan. Iman di dalam hati akan memberi ketenangan yang
luar biasa. Akidah Islam akhirnya melahirkan manusia yang sanggup
berjihad ke jalan Allah swt walaupun harta dan nyawa menjadi taruhan.
Bilal bin Rabah sanggup mati kerana mempertahankan akidahnya. Kelaurga
Amar bin Yasir demikian juga. Demikianlah para sahabat sanggup
mengorbankan harta dan nyawa untuk mempertahan dan menyebarkan Islam ke
seluruh dunia. Ini adalah kesan dari Akidah Islam yang meressap di dalam
jiwa dan lubuk hati mereka. Akidah Islam yang ada dalam hati umat Islam
kini mungkin tidak begitu mantap menyebabkan mereka tidak dapat
mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam di zaman Nabi saw dan para
Sahabat. Umat Islam pada hari ini begitu rapuh akidahnya. Lantaran itu
mereka amat mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai unsur negatif.
Kemunduran umat Islam kini kerana mereka semakin jauh dari menghayati
Akidah Islam yang sebenar.
TAKRIF IMAN
Iman
jika diteliti dari segi
bahasa memberikan erti kepercayaan atau
tasdiq. Oleh itu, orang yang beriman dikatakan seorang yang percaya.
Iman itu merupakan aqidah atau pokok dan di atasnya berdiri syariat
Islam.
Manakala dari segi
istilahnya pula boleh
dimengertikan melalui sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadits baginda yang
menegaskan:
“Membenarkan dengan hati, diucapkan dengan lidah
dan diamalkan dengan jasad (anggota lahir).”
Dari hadith ini
bolehlah difahami bahawa iman ialah membenarkan dengan hati secara putus
(jazam), akan segala yang dibawa atau didatangkan oleh Rasulullah
s.a.w. yang sabit secara nas qat’ie, diketahui kedatangannya itu adalah
secara darurat (mudah).
Maka, ulama hadits & fiqh
berpendapat dengan tegas bahawa iman adalah ‘tasdiq dengan hati, iqrar
dengan lisan dan beramal dengan segala rukun’.
Oleh itu tanpa
tiga syarat yang disebutkan tadi seseorang itu belum dikatakan mempunyai
iman yang sempurna. Ketiadaan satu daripada ketiga-tiga syarat tadi
bermakna statusnya daripada nama Islam bertukar dan nama lain akan
diberikan kepadanya iaitu samada fasik, munafik atau kafir.
TAKRIF ISLAM
a) Islam secara lafziyan mempunyai
makna:- Menundukkan wajah (Islam al wajhi)“Siapakah yang terlebih
baik agamanya dari orang yang menundukkan mukanya kepada Allah, sedang
ia berbuat kebaikan dan mengikut agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah
telah mengangkat Ibrahim itu sebagai taulan/kesayangan (-Nya)”
(An-Nisaa’ 4:125)
- Berserah diri (Istislam)“Maka
mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal apa
yang di langit dan di bumi berserah diri kepada-Nya, (baik) dengan suka
maupun terpaksa, dan hanya kepadanya mereka dikembalikan.” (Aali ‘Imraan
3:83)
- Suci, bersih (As-salaamah)“Kecuali orang yang
datang ke hadirat Allah dengan hati yang suci (bersih)” (Asy-Syu‘araa’
26:89)
- Selamat, sejahtera (As-salaam)“Apabila telah datang
kepada engkau orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, maka ucapkanlah
kepada mereka ‘salaamun alaikum’ (kesejahteraaan ke atas kamu)”
(Al-An‘aam 6:54)
- Perdamaian (As-salmu)“Maka janganlah kamu
lemah dan menyeru kepada perdamaian, sedang kamu orang tertinggi (akan
menang), dan Allah berserta kamu (menolong-mu) dan Dia tidak akan
mengurangkan (pahala) amalanmu.” (Muhammad 47:35)
b) Di
dalam al-Quraan Islam disebut sebagai deen.“Sesungguhnya agama
(deen) di sisi Allah ialah Islam” (Aali ‘Imraan 3:19)“Barangsiapa
menuntut agama selain Islam maka tiadalah diterima daripadanya sedangkan
ia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Aali ‘Imraan 3:85)
Abul ‘Ala Maududi di dalam bukunya ‘Prinsip-prinsip Islam’, deen
mengandungi erti sistem kehidupan yang menyeluruh termasuk ibadah,
kemasyarakatan, politik dan jihad. Islam mencakupi keseluruhan hidup dan
Islam secara lengkap menyediakan keperluan manusia untuk mengatur hidup
yang mudah difahami yang konsekuensinya bakal mengantar kepada kejayaan
muslim.
Antara perkara asas yang ditegakkan dalam memahami
Islam sebagai Deen
1. Tunduk (al-khudu’) (24:51)2. Wahyu
Ilahi (53:4, 21:7) 3. Deen para nabi dan Rasul (2:186, 3:84)4.
Ahkam Allah (5:48, 5:50)5. Sirat al-Mustaqim (6:153)6. Keselamatan
dunia akhirat (Salamatud dunya wal akhirah) (16:97, 2:200, 28:77)
Maka,
makna Islam segara integral adalah aqidah, amal soleh dan ketundukan.
Islam adalah ad-Deen yang berintikan iman & amal.
DEFINISI
AQIDAH
Perkataan akidah berasal
dari perkataan bahasa Arab iaitu ‘aqada yang bererti ikatan atau
simpulan. Perkataan ini juga digunakan pada sesuatu yang maknawi seperti
akad nikah dan akad jual beli. Dari ikatan atau simpulan yang maknawi
ini maka lahirlah akidah iaitu ikatan atau simpulan khusus dalam
kepercayaan. Sementara dari segi istilah, akidah bermaksud kepercayaan
yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa seseorang sehingga tidak
mungkin tercerai atau terurai.
Akidah menurut istilah syara’
pula bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat atau
nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki,
yang kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh syara’ iaitu beriman
kepada Allah swt, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan
perkara-perkara ghaibiyyat.
PENDIDIKAN
AQIDAH
Pendidikan akidah merupakan asas
kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada
amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan
amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah swt.
Ayat-ayat
yang terawal yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw di
Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. Dengan asas pendidikan dan
penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad saw telah
berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental
dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin
Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu
besar di tengah
padang pasir yang panas terik. Demikian juga
keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan
ancaman maut.
Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa
pendidikan akidah amat penting dalam jiwa setiap insan muslim agar
mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam lebih-lebih lagi di zaman
globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru terutamanya
internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat
sekali.
Matlamat dan Objektif Pendidikan
Akidah
1. Mengakui keesaan Allah swt
Matlamat utama pendidikan akidah Islam ialah mendidik
manusia supaya mengakui keesaan dan ketunggalan Allah swt sebagai tuhan
yang wajib disembah. Tiada sekutu bagiNya. Ini dijelaskan oleh Allah swt
dalam firmanNya yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad)
Dia ialah Allah Yang Maha Esa. Allah menjadi tumpuan sekelian makhluk
untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan tidak diperanakkan.
Dan tidak ada sesiapa yang setara denganNya” (al-Ikhlas 112:1-4)
Ayat
di atas mendidik manusia supaya mengaku keesaan dan kekuasaan Allah
swt. Ayat ini diturunkan di Makkah di awal perkembangan Islam. Oleh
kerana akidah merupakan asas kepada kekuatan dan pembinaan Islam sebagai
al-Din maka wahyu-wahyu yang terawal yang diturunkan kepada Nabi
Muhammad saw menjurus kepada pendidikan Akidah bagi menanam keyakinan
yang teguh dalam jiwa manusia tentang keesaan Allah swt.
2.
Melahirkan manusia yang patuh dan tunduk kepada Allah swt
Pendidikan akidah juga penting untuk mendidik manusia supaya patuh
dan tunduk kepada kebesaran dan keagungan Allah swt.
3.
Membentuk keperibadian insan
Sebagaimana acuan
dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah akidah
dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya menepati dengan
hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti yang
dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk
sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya.
Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai
akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk
amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan
tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah swt di muka bumi ini.
Menurut Mohd Sulaiman Yasin (1987), Akidah Islam ialah akidah yang
bersumberkan ketuhanan (akidah Rabbaniyyah) yang tetap, syumul,
menyeluruh dan fitrah.
Tabiat akidah yang demikian ialah akidah
yang kukuh dan teguh. Hanya akidah yang teguh sahaja dapat membentuk
manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan keteguhan akidah ialah
kerana kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi kandungan akidah
itu, yang merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan, hakikat
alam semesta dan hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran,
kebaikan dan keindahan. Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi
sumber kekuatan Islam.
Itulah hakikat kekuatan umat Islam,
kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kepada
kekuatan jasmaninya. Di dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang
silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk dan
dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh
kental dan luar biasa. Kita lihat sahaja kepada Bilal, bahawa akidah
telah memberikan kekuatan kepadanya. Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin
Affan sanggup membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam
sehingga tiada apa lagi yang dimiliki melainkan Allah swt dan Rasul. Ali
bin Abi Talib sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah saw dan
banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah
saw hasil dari pendidikan akidah yang mantap.